Dari Abu Hurairah ra. bahwa Nabi saw. bersabda: "Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.
2. Para malaikat selalu meminta keampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba Ku yang saleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikatlah syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (HR Ahmad)
Sabda Rasulullah s.a.w.; "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir." - Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi
Dari Anas, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Bersahurlah. Sesungguhnya sahur itu berkat." - Riwayat Al Bukhari & Muslim
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda; "Apabila Ramadhan telah datang maka dibukakan pintu rahmat, dikunci Neraka Jahanam dan dibelenggu semua syaitan." - Sahih Muslim
Dari Sahl b. Saad Rasulullah s.a.w. bersabda; "Orang yang segera berbuka puasanya sentiasa dalam kebaikkan." - Riwayat Bukhari & Muslim
Anas r.a. berkata Nabi s.a.w bersabda; "Lima macam yang membatalkan puasa dan membatalkan wuduk: dusta, mengumpat dan bermuka-muka dan melihat yang bukan muhrim dengan syahwat dan sumpah palsu." - Riwayat Al-Azdi & Addailami
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya; "Makan sahur itu berkat, kerana itu jangan kamu tinggalkan walau seteguk air kerana Allah merahmati orang-orang yang sahur dan malaikat mendoakan orang yang sahur." - Riwayat Ahmad
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ada lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; "Ya Rasulullah! Ibu saya telah meninggal dunia dan dia ketinggalan puasanya satu bulan. Bolehkah aku puasa untuk membayar puasa itu?" Jawab Nabi s.a.w.; "Ya boleh! Hutang kepada Allah lebih berhak untuk di bayar." - Sahih Bukhari